NOVEMBER 2022

Sarawak Destinasi Pelabur Antarabangsa - Awang Tengah


BINTULU: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) akan membangunkan kawasan 

seluas 404 hektar (1,000) ekar di Taman Perindustrian Samalaju di sini.

Kawasan itu untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kawasan seluas 40 hektar (100) ekar yang merupakan sebahagian daripada kawasan terbabit dijangka siapa pada hujung tahun 2023.

Dalam usaha mencapai pembangunan mampan dan hijau, kerajaan berharap Taman Perindustrian Samalaju akan terus berkembang dengan landskap yang tersusun, kemudahan bandar baharu dan sosial, katanya pada upacara pecah tanah bagi kilang Ocikumho Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Awang Tengah menzahirkan tahniah kepada Kumpulan OCi dan Korea Kumho Petro Chemical Group atas kejayaan upacara pecah tanah itu bagi mendirikan kilang berharga RM1.7 bilion secara usaha sama.

Kilang itu apabila beroperasi sepenuhnya akan mengeluar epichlorohydrin (ECH) menggunakan tenaga hidro elektrik dengan bioglycerin dan garam asli. ECH adalah bahan mentah untuk mengilang epoxy digunakan sebagai bahan pembalut dalam bidang perindustrian seperti perkapalan, automobile, IT, pembinaan dan kejuruteraan awam.

Pada masa sama, Kumpulan OCI akan mengembangkan pengeluaran Chlor-alkali dengan membuat pelaburan lebih RM8 bilion untuk menghasil polysilicon di Sarawak yang akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat tempatan.

Awang Tengah berkata, sungguhpun berhadapan dengan pandemik, Sarawak berjaya menarik pelaburan berjumlah RM23.17 bilion dengan RM16.08 bilion diluluskan pada 2020 dan RM7.09 bilion pada 2021.

Di Taman Perindustrian Samalaju, katanya, pelabur antarabangsa telah melabur sejumlah RM21 bilion dengan menjana pulangan RM4.6 bilion kepada ekonomi tempatan.

Peluang pekerjaan yang wujud hasil daripada pelaburan itu berjumlah 7,800 pada 2021 dan 6,600 pada 2020.

Pelabur di samping mengembangkan perniagaan di Samalaju dan Sama Jaya di Kuching, katanya, terdapat beberapa pelabur baharu sedang berunding dengan Kerajaan Sarawak untuk membuat pelaburan di negeri ini.

Para pelabur itu, tambahnya, berminat kepada potensi tenaga hidro hijau di Sarawak untuk menghasilkan barangan mesra alam seperti besi keluli, hidorgen dan komponen bagi bateri EV.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan meningkatkan kemudahan infrastruktur di Taman Perindustrian Samalaju untuk menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

Sumber dari : Jiwa Bakti